Monday, 29 August 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah


       Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua yang merayakannya tak kira di mana berada.
Semoga segala ibadah yang kita kerjakan di bulan Ramadhan ini diterima Allah s.w.t.

          Sama-samalah kita berdoa agar amalan seperti mendirikan solat sunat (solat sunat Dhuha dan Tahajjud), bersedekah, bangun pada awal pagi dan rajin bertadarrus diteruskan pula pada 11 bulan yang lain dan tidak hanya terbatas di dalam bulan puasa sahaja. InsyaAllah.

          Maaf zahir dan batin dipinta jika ada saya melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati baik dari segi tutur kata mahupun perbuatan. Yalah, mana ada manusia yang tidak membuat kesalahan dan kesilapan. Kita bukannya maksum seperti Nabi Muhammaad s.a.w.

          Sebenarnya hidup kita ini ibarat suatu peperangan. Prinsip peperangan ialah untuk mendapat kemenangan. Sesungguhnya peperangan ini bukanlah mudah kerana sentiasa ada dua musuh yang utama. Musuh paling besar yang berada di dalam diri kita ialah HAWA NAFSU dan SYAITAN. Nafsu yang berada di dalam diri kita dapat dijinakkan sekiranya kita mengamalkan apa yang Allah s.w.t kehendaki dan meninggalkan apa yang Allah s.w.t tidak sukai. Dalam erti kata yang lain kita ikutlah apa yang Allah perintahkan untuk kita buat dan lakukan berpandukan Al-Quran. Seterusnya kita ikutlah apa yang Nabi ajarkan iaitu Sunnah Nabi s.a.w. Insyaallah selamatlah kita dari hambatan hawa nafsu yang menggila.

          Seterusnya, bagi melawan agenda syaitan yang mana kerja-kerja mereka sangat profesional, tidak kenal erti jemu dan bekerja secara berjemaah bagi menyesatkan manusia kita perlulah berdoa untuk berlindung dengan Allah daripada syaitan dan semoga mereka menjauhi kita. Syaitan ini sangat licik dan paling berbahaya kerana mereka terlalu ramai dan kita tidak dapat melihat mereka......  

"Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku."
Surah Al-Mu'minun ayat 97 dan 98.


Akhir kata, sambutlah salam lebaran dari saya, isteri dan anak-anak. Berhati-hati di jalanraya dan jangan lupa menunaikan zakat fitrah.

29 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 29 Ogos 2011.


No comments:

Post a Comment