Tuesday 17 December 2013

Keropok ala losong @ Pengkalan Nyireh

Kalau ke Besut boleh cuba makan keropok dan minum air kelapa. Banyak kedai menjual keropok ini di Pengkalan Nyireh dekat dengan Kampung Raja.

Jemput makan keropok dan minum air kelapa....
Sedap, Alhamdulillah....

Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Kuala Besut, Terengganu

     Baru berpeluang ke Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Kuala Besut, Terengganu. Biasa kami pergi ke Kompleks Ikan Tok Bali, Kelantan atau Rhu Sepuluh, Setiu untuk membeli makanan laut.

     Suasana di Tok Bali dan Rhu Sepuluh lebih "hidup" dan penuh dengan keramahan penjual-penjual ikan segar berbanding dengan di sini.

     Anda berpeluang untuk membeli pelbagai jenis ikan, udang dan sotong. Harga rendah sedikit daripada kedai serta segar.



Ikan pari

Udang 

Sotong katak


Tulang sotong katak

Putih-Putih Melati - ST 12 | Mr Bie ft. Adik C [Parodi]

Jawapan 'Sayang - Shae' | Mr Bie [Parodi]

Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang

     Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam untuk baginda Nabi Muhammad, keluarga serta sahabat.

     Filem terbaru Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang sangat menarik dan penuh dengan pengajaran. Al-Quran dijadikan sebagai panduan hidup. Hidup ini kena rajin mencari ilmu.

     Kenapa perlu sembahyang? Kita ni hamba Allah. Allah yang menjadikan kita. Bagi kita mata dapat melihat, telinga dapat mendengar, kaki dapat berjalan. Udara percuma untuk kita bernafas. Sebagai mensyukuri nikmat Allah maka kita perlu sembahyang 5 kali sehari semalam.

     Berdoalah kepada Allah untuk mendapat hidayahNya. Doa adalah senjata Mukmin. Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Nak berjumpa UAI tapi banyak halangan tapi tak berputusa asa berdoa. Walaupun lambat tapi lama kelamaan Allah makbulkan. Berdoalah untuk diri sendiri dan orang lain supaya hidup dan mati dalam iman.

      Setiap orang yang mengaku beriman pasti Allah uji. Dadu dan Muiz dihalau keluar dari rumah, tiada duit untuk makan, ditangkap polis dan dimasukkan ke dalam lokap. Walaupun mereka diuji mereka tetap bersabar dan mengerjakan sembahyang apabila masuk sahaja waktu.

     Tugas manusia ialah berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Itulah tugas yang Allah perintahkan kepada kita. Hidayah itu milik Allah. Dunia ini sementara sedangkan akhirat itu kekal abadi.

 
  Tinggalkanlah perkara-perkara yang tidak elok dan lakukan kebaikan walaupun kecil seperti mengalihkan benda yang berbahaya di tengah jalan.

   

Sunday 15 December 2013

Surah Al-Khafi ayat ke-46

Bisillahirrahmanirrahim

     Alhamduillah, segala puji untuk Allah Ta'ala tuhan sekelian alam, selawat dan salam untuk nabi Muhammad serta untuk keluarga dan sahabat baginda s.a.w. Hari ini dapat mengikut tazkirah oleh Dr Saufi Man di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood.

     Ayat ke-46 surah Al-Kahfi : Harta dan anak-anak adalah perhiasan dunia dan amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

    Harta dan anak-anak menjadi sesuatu yang kita inginkan di dunia ini. Harta dan anak-anak ini boleh membawa kita ke arah kebaikan yang kekal. Hadis nabi s.a.w : apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

     Contoh sedekah jariah yang berterusan ialah kita memberi sumbangan untuk membina tandas. Selagi tandas itu digunakan, maka pahala itu akan dikreditkan kepada kita. Misal lain ialah kita memberi sumbangan untuk menyediakan permaidani untuk masjid. Selagi mana ia digunakan maka kita akan mendapat pahalanya walaupun kita sudah mati. Banyak lagi cara sebenarnya asalkan kita cuba untuk membuatnya.

     RM1.00 yang nampak kecil pada mata kita sebenarnya ia boleh digandakan pahala sebanyak-banyaknya oleh Allah. Satu biji benih yang ditanam mengeluarkan satu pokok yang mempunyai tujuh tangkai. Setiap tangkai mengeluarkan 100 biji buah. Jadi RM1.00 boleh jadi nilai pahala bersamaan RM700.00.

     Apa juga harta yang kita sedekahkan wajib kita keluarkan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Sekiranya tidak ikhlas maka kita akan rugi kerana ia tidak dikira malah boleh menjadikan kita berdosa.

     Sesungguhnya celaka orang yang bersolat, iaitu mereka yang lalai dalam solat, bersolat untuk dilihat orang lain dan kedekut dengan harta yang dimiliki.

Tuan-tuan dan puan-puan,

     Harta yang disedekahkan seperti contoh kita sedekahkan RM10.00 untuk anak yang hendak menyambung pelajaran. Anak tadi menggunakan duit tadi untuk membeli kitab. Anak tadi belajar dan mengamalkan ilmu yang didapati daripada kitab itu maka ganjaran pahala untuk kita itu akan berterusan dan menjadi tidak terhingga.

     Anak-anak kita hendaklah dididik supaya menjadi anak yang soleh. Setiap anak yang baru dilahirkan sehingga berumur 21 tahun ada tiga cara didikan yang Nabi telah ajarkan. Fasa pertama, baru lahir sehingga umur 7 tahun, sayyidun atau tuan, diberikan kebebasan untuk bermain, meneroka dan bergurau manja asalkan tidak membahayakan dirinya. Fasa kedua, abdun, 8 tahun hingga 14 tahun, disuruh dan mengikut peraturan. Disuruh untuk sembahyang, puasa dan sebagainya.

     Fasa ketiga, 15 hingga 21 tahun, wazirun atau menteri. Boleh diminta memberi pendapat dalam mesyuarat keluarga. Faktor persekitaran juga amat dititik beratkan kerana apalah guna didikan yang baik di dalam rumah tapi bercampur gaul dengan kawan yang tidak baik. Remaja yang hanya hanya duduk di rumah dengan dibekalkan dengan laptop berwireless juga mesti diketahui kawan-kawan mereka dan apa yang mereka layari kerana dikhuatiri laptop tadi menjadi alat untuk anak tadi terlalu bebas bergaul.
   
    Semoga harta, anak-anak dan diri kita menjadi amal soleh yang berterusan. Jika sebelum ini kita kedekut tukarlah sifat itu kepada pemurah. Jika sebelum ini kita menunjuk-nunjuk maka tukarlah sifat itu kepada ikhlas. Salah dan silap minta dimaafkan.
   

Saturday 14 December 2013

Neraka dan syurga

Bismillahirrahmanirrahim

     Alhamdulillah, masih ada peluang untuk hidup hari ini. Perkongsian daripada tazkirah Subuh di Masjid Ar-Rahimah oleh Ustaz Sobri Mat.

     Neraka yang Allah sediakan untuk manusia dan jin ialah 999/ 1000 bahagian manakala Syurga hanya 1/1000 bahagian.

     Pagi ini rombongan dari Masjid Ar-Rahimah akan berlepas ke Kuantan untuk menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang, pakaian dan makanan kepada mangsa banjir. Selain itu, permaidani masjid yang lama turut dibawa untuk disumbangkan kepada masjid yang terlibat dengan banjir.

Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim

     Perkongsian tazkirah pagi dari masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood yang disampaikan oleh Ustaz Sobri Mat.

     Nafsu sesuatu yang Allah telah berikan kepada manusia. Nafsu mendorong manusia untuk makan minum, membuat kerja, mencari ilmu dan sebagainya.

     Nafsu ada beberapa peringkat. Nafsu amarah, lawwamah dan mutmainnah.

     Nafsu ammarah ialah nafsu yang liar amat berbahaya kerana ia mendorong kita untuk berbuat perkara yang tidak elok. Ia boleh menyebabkan manusia melakukan lalai daripada mengingati penciptaNya.

     Nafsu yang baik mendorong kita untuk berbuat yang baik. Nasfu yang baik ialah nafsu lawwamah dan mutmainnah. Ia membolehkan kita sentiasa ingat akan Allah.

     Antara perkara yang boleh menjinakkan nafsu kita ialah dengan berzikir, membaca al-Quran, berpuasa pada siang hari, bangun beribadat waktu malam, dan bersedekah. Selain itu, kita juga boleh mengujungi masjid-masjid dan jika berpeluang kita boleh menziarahi tempat-tempat yang telah Allah telah binasakan akibat kaum itu tidak mahu mengikut suruhanNya seperti Laut Mati.

     Semoga kita dapat menjinakkan nafsu kita yang meliar supaya ia sentiasa tunduk dan patuh melakukan perkara-perkara yang Allah perintahkan.

Thursday 12 December 2013

Muzium Coklat @ Kota Damansara

Trip cuti kali ini ke Muzium Coklat di Kota Damansara. Ok, dapat mengetahui sejarah coklat, cara pembuatan dan bahan pembuatan coklat.

Demonstarsi pembuatan coklat pada jam 12.00 tengahari dan 3.00 petang. Tiada bayaran masuk. Sediakan duit lebih untuk membeli coklat pelbagai jenama.
















Perbuatan khianat

Innalillahiwainnailaihirojiun....

Cermin kereta dipecahkan di stesen minyak di jalan MRR2. Berhati-hati, pencuri mencari peluang.


Jeruk rambutan

Rambutan yang banyak jangan dibazirkan. Boleh dibuat jeruk. Lepas itu boleh buat sebagai minuman.

Resipi :

1. Kupas rambutan.
2. Basuh rambutan tersebut.
3. Masukkan rambutan ke dalam air menggelegak.
4. Masukkan gula melaka apabila rambutan sudah lembut.
5. Masuk rambutan dengan air gula tersebut ke dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk.


Wednesday 11 December 2013

Tazkirah pagi hari Rabu

Bismillahirrahmanirrahim

     Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus hidup pada pagi ini. Ingin berkongsi tazkirah agi yang disampakan oleh Ustaz Sobri Mat, kitab Tanbihul Ghafilin di Masjid Ar Rahima, Taman Greenwood.

     Abu Maisarah sering berkata apabila berada di tempat tidur, "Alangkah baiknya jika aku tidak dilahirkan oleh ibuku". Isterinya membalas, "Allah telah memberi kurnia dan memberi hidayah Islam kepadamu". Abu Maisarah menambah, "Allah memberitahu bahawa akan kita akan masuk ke neraka tapi tidak menyatakan bila akan keluar". (Maafkan jika saya tersalah dan tolong betulkan).

     Tidur adalah sebahagian dari mati. Diriwayatkan apabila kita mati dan masuk ke dalam kubur. Selepas saja tiga langkah orang meninggalkan kita maka akan datanglah malaikat Mungkar dan Nakir. Selepas tujuh langkah kita akan mendengar derapan langkah orang di atas. Segala jeritan ahli kubur tidak dapat didengar oleh jin dan manusia kecuali haiwan dan tumbuhan. Sekiranya manusia yang mendengar nescaya akan menyebabkan kematian.

     Kisah yang lain pula, Al-Fudhail menyatakan bahawa di tidak iri hati kepada Malaikat Muqorrobin (Malaikat yang rapat dan hampir dengan Allah) dan para Rasul tapi beliau hanya irihati akan mereka yang masih belum dilahirkan ke dunia. Kenapa? Orang yang belum dilahirkan tidak ada apa yang hendak dipertanggungjawabkan.

     Di dalam buku Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah karangan Almarhum Ustaz Said Bin Ibrahim bekas Mufti Sabah, umat Nabi Muhammad adalah umat yang terbaik kerana tiga ciri. Menyuruh berbuat baik, mencegah kemungkaran dan menyeru manusia beriman kepada Allah. Agama Islam ialah agama nasihat. Kita diseru untuk nasihat menasihati antara satu sama lain. Apabila melihat kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah ditegur. Orang yang ditegur mesti berlapang dada. Pepatah Melayu jangan jaga tepi kain orang, mati kubur masing-masing adalah pepatah yang tidak elok.

     Gandingan mantap antara ulama dan umara (pemerintah/ kerajaan) adalah penting. Ini bagi mendapat keberkatan, negara yang aman dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Masalah jenayah seperti tembak menembak dan bunuh membunuh sangat bermaharaja akibat kita yag tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan pentadbiran negara. Zaman kegemilangan Islam telah berlaku pada zaman Nabi, sahabat dan khulafa Ar-Rasyidin berkat mengikut undang-undang Allah.

     Ada dua jenis ulama - satu yang berani menegur pemerintah supaya mengikut Islam yang sebenanya dan dua yang menjaga pangkat serta kedudukan.

     Nabi memberitahu, waktu siang yang pendek maka hendaklah kita berpuasa dan malam yang panjang maka hendaklah kita bangun sembahyang malam. Tanda seorang itu mendapat cahaya Islam ialah dia tidak mengunjungi tempat-tempat yang melalaikan dan meninggalkan perbuatan yang sia-sia.
   
     Duduk minum segelas air kopi di kedai kopi selama dua tiga jam adalah contoh yang perbuatan yang sia-sia. Apa yang dimaksudkan ialah bukan sekadar duduk dan minum air kopi tapi melihat pula kepada pelayan kedai atau pelanggan berlainan jantina yang berpakaian seksi. Elakkan dari berkata takpelah sekali saja bila sudah buat perkara yang sia-sia tersebut kerana ia boleh menjauhkan kita dari mengingati Allah.

     Sekian sahaja, semoga kita dapat diberi kekuatan untuk beramal. Sesunguhnya hanya Allah sahaja yang menentukan kedudukan seseorang itu nanti samada dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Salah dan silap saya mohon ampun daripada Allah dan maaf daripada tuan.

   

Tuesday 10 December 2013

Tazkirah pagi Selasa

Bisillahirrahmanirrahim

     Alhamdulillah, masih dapat hidup di dunia yang bersifat sementara ini. Tazkirah di masjid pagi ini dibaca dari kitab Tanbihul Ghafilin dan disampaikan oleh Ustaz Sabri Mat.

   Nabi s.a.w bersabda, Allah berfirman : Sesiapa yang berasa takut akan Allah s.w.t di dunia, maka dia akan aman di akhirat. Sesiapa yang berasa aman di dunia, maka dia akan takut di akhirat.

    Ayuhlah kita yakin akan semua janji Allah. Takut kepada Allah ialah dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya dalam segenap aspek kehidupan. Makhluk Allah yang paling taat ialah malaikat. Malaikat sentiasa mendengar dan mentaati perintah Allah.

     Ada malaikat yang sujud kepada Allah dari awal dicipta sehingga akhirat. Setelah akhirat baru mereka mengangkat muka lalu berkata mereka masih lagi belum beribadat kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

     Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah menjalankan hukum Islam dan negara mereka bertambah makmur dengan rezeki yang melimpah dari perut bumi. Kita yakinlah sebgaimana Allah sudah nukilkan dalam Al-Quran kepada sesiapa yang bertaqwa maka Allah akan memberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka. Semoga kita juga turut dapat melihat hukum Allah dilaksanakan di Malaysia tercinta. Amin Ya Rabbal 'Alamin. Apakah kita merasa masih aman sekarang?

   

Monday 9 December 2013

ATM membantu mangsa banjir

Bismillahirrahmanirrahim

     Banjir telah melanda di beberapa negeri di Malaysia dan keadaannya bertambah reda hari ini - mengikut pemerhatian saya terhadap cuaca pada pagi hari ini. Saya doakan semoga semua pihak yang terlibat dengan ujian ini dapat bersabar dan tabah menghadapinya.

     Terima kasih kepada semua agensi samada kerajaan, NGO atau orang perseorangan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam ujian banjir.

    Gamabar di atas saya ambil sewaktu melalui SK Kuala Krai, Kelantan. Saya melihat terdapat helikopter-helikopter Angkatan Tentera Malaysia yang telah diaturgerak bagi menghadapi situasi di sana. Jiran saya juga merupakan seorang anggota tentera terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Besut. Syabas dan tahniah diucapkan kepada tentera-tentera Malaysia. Semoga Allah merahmati kalian. Amin.

Friday 6 December 2013

Ubat hati berkarat

     Ubat bagi hati berkarat itu ada dua iaitu beristighfar dan membaca al-Quran.

     Istighfar hendaklah diamalkan sebanyak mungkin kerana kita adalah hamba Allah yang sentiasa melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.

     Contoh-contoh istighfar ialah Astagfirullahal'azim, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.

     Penghulu istighfar pula elok diamalkan tiga kali waktu pagi dan tiga kali waktu malam. Jika kita mati dengan beramal dengan penghulu istighfar ini maka Allah akan masukkan kita ke dalam syurgaNya.

     Selain beristighfar untuk diri sendiri kita juga dituntut untuk memohon ampun untuk kedua ibu bapa kita. Sesungguhnya apabila matinya anak Adam itu maka terputuslah semua perkara kecuali ilmu yang bermanfaat, harta yang dikeluarkan untuk jalan Allah dan doa dari anak yang soleh.

     Dengan beristighfar segala apa yang kita hajati akan tercapai. Tiada rezeki maka beristighfarlah, tidak turun hujan maka beristighfarlah, tiada dikurniakan anak maka beristighfarlah.

     Sama-samalah kita beramal dan ingat memperingati antara satu sama lain akan kelebihan beristghfar.

Wednesday 4 December 2013

Selepas banjir reda - info dari portalbencana.mkn.gov.my

Selepas Banjir Reda

Pastikan minum air yang telah dimasak dan elakkan dari meminum air yang telah tercemar;
  • Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir;
  • Jangan makan makanan yang telah dicemari air banjir;
  • Lupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas/ peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna;
  • Gunakan air bersih untuk membasuh bekas makanan, mandi, menyediakan makanan atau menyediakan susu bayi;
  • Jika terserempak dengan haiwan liar/ berbisa, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan;
  • Pastikan semua punca elektrik selamat dan tidak terdedah dengan sumber air sebelum menghidupkan suis utama untuk mengelak renjatan elektrik;
  • Jika bekalan elektrik masih belum disambungkan, gunakan lampu suluh untuk sumber cahaya; dan
  • Jika mengesyaki gas bocor, tutup sumber gas, buka semua tingkap dan pintu dan keluar dari rumah  dengan segera.

Apabila berlaku banjir - info dari portalbencana.mkn.gov.my

Apabila Berlaku Banjir

Pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik;
  • Ikuti arahan pihak berkuasa;
  • Segera berpindah (ke pusat pemindahan/ rumah saudara lain/ tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa;
  • Pastikan rumah berkunci dan barang disimpan di tempat tinggi dan selamat sebelum melakukan pemindahan;
  • Kenalpasti individu yang mempunyai keperluan khas seperti berpenyakit kronik, kurang upaya, uzur, mengandung dan sebagainya untuk bantuan pemindahan;
  • Sentiasa berwaspada ketika memandu pada musim tengkujuh/ banjir dan gunakan laluan selamat yang telah dikenalpasti;
  • Jangan memandu mengharungi air banjir kerana dikhuatiri kenderaan akan dihanyutkan air deras;
  • Jika terperangkap dalam banjir, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan dengan melaporkan keadaan dan kedudukan anda;
  • Awasi kanak-kanak dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir atau di tepi sungai/ parit/ longkang/ saluran air yang deras; dan
  • Jangan keluar rumah dengan mengharungi air banjir kerana bimbang dihanyutkan air deras.

Persediaan sebelum banjir - info dari portalbencana.mkn.gov.my

Persediaan Sebelum Banjir

Elakkan membina bangunan di kawasan yang berisiko banjir;
  • Selenggara parit/ longkang/ saliran air supaya tidak tersumbat;
  • Simpan nombor-nombor perhubungan penting seperti nombor ahli keluarga, jiran, balai polis terdekat, bomba untuk kegunaan semasa kecemasan;
  • Peka kepada keadaan sekeliling, bunyi/ isyarat-isyarat amaran serta kenalpasti laluan tinggi dan selamat untuk ke pusat pemindahan;
  • Bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa;
  • Dapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet;
  • Simpan semua dokumen penting di dalam bekas/ beg/ fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan;
  • Sediakan barang keperluan asas yang paling penting seperti susu anak, ubat-ubatan, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah;
  • Simpan barang berharga di tempat tinggi yang tidak ditenggelami air sekiranya berlaku banjir;
  • Simpan air bersih di dalam botol untuk kegunaan memasak dan sebagai air minuman;
  • Simpan/ ikat dengan ketat barang-barang yang diletakkan di luar rumah seperti perabut taman, basikal, tong sampah dan sebagainya untuk mengelak dihanyutkan banjir;
  • Pastikan kenderaan dan peralatan membaiki kenderaan anda berkeadaan baik sebagai persediaan berpindah;
  • Letakkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dbenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan;
  • Dapatkan insuran banjir jika berkemampuan.