Sunday, 15 December 2013

Surah Al-Khafi ayat ke-46

Bisillahirrahmanirrahim

     Alhamduillah, segala puji untuk Allah Ta'ala tuhan sekelian alam, selawat dan salam untuk nabi Muhammad serta untuk keluarga dan sahabat baginda s.a.w. Hari ini dapat mengikut tazkirah oleh Dr Saufi Man di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood.

     Ayat ke-46 surah Al-Kahfi : Harta dan anak-anak adalah perhiasan dunia dan amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

    Harta dan anak-anak menjadi sesuatu yang kita inginkan di dunia ini. Harta dan anak-anak ini boleh membawa kita ke arah kebaikan yang kekal. Hadis nabi s.a.w : apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

     Contoh sedekah jariah yang berterusan ialah kita memberi sumbangan untuk membina tandas. Selagi tandas itu digunakan, maka pahala itu akan dikreditkan kepada kita. Misal lain ialah kita memberi sumbangan untuk menyediakan permaidani untuk masjid. Selagi mana ia digunakan maka kita akan mendapat pahalanya walaupun kita sudah mati. Banyak lagi cara sebenarnya asalkan kita cuba untuk membuatnya.

     RM1.00 yang nampak kecil pada mata kita sebenarnya ia boleh digandakan pahala sebanyak-banyaknya oleh Allah. Satu biji benih yang ditanam mengeluarkan satu pokok yang mempunyai tujuh tangkai. Setiap tangkai mengeluarkan 100 biji buah. Jadi RM1.00 boleh jadi nilai pahala bersamaan RM700.00.

     Apa juga harta yang kita sedekahkan wajib kita keluarkan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Sekiranya tidak ikhlas maka kita akan rugi kerana ia tidak dikira malah boleh menjadikan kita berdosa.

     Sesungguhnya celaka orang yang bersolat, iaitu mereka yang lalai dalam solat, bersolat untuk dilihat orang lain dan kedekut dengan harta yang dimiliki.

Tuan-tuan dan puan-puan,

     Harta yang disedekahkan seperti contoh kita sedekahkan RM10.00 untuk anak yang hendak menyambung pelajaran. Anak tadi menggunakan duit tadi untuk membeli kitab. Anak tadi belajar dan mengamalkan ilmu yang didapati daripada kitab itu maka ganjaran pahala untuk kita itu akan berterusan dan menjadi tidak terhingga.

     Anak-anak kita hendaklah dididik supaya menjadi anak yang soleh. Setiap anak yang baru dilahirkan sehingga berumur 21 tahun ada tiga cara didikan yang Nabi telah ajarkan. Fasa pertama, baru lahir sehingga umur 7 tahun, sayyidun atau tuan, diberikan kebebasan untuk bermain, meneroka dan bergurau manja asalkan tidak membahayakan dirinya. Fasa kedua, abdun, 8 tahun hingga 14 tahun, disuruh dan mengikut peraturan. Disuruh untuk sembahyang, puasa dan sebagainya.

     Fasa ketiga, 15 hingga 21 tahun, wazirun atau menteri. Boleh diminta memberi pendapat dalam mesyuarat keluarga. Faktor persekitaran juga amat dititik beratkan kerana apalah guna didikan yang baik di dalam rumah tapi bercampur gaul dengan kawan yang tidak baik. Remaja yang hanya hanya duduk di rumah dengan dibekalkan dengan laptop berwireless juga mesti diketahui kawan-kawan mereka dan apa yang mereka layari kerana dikhuatiri laptop tadi menjadi alat untuk anak tadi terlalu bebas bergaul.
   
    Semoga harta, anak-anak dan diri kita menjadi amal soleh yang berterusan. Jika sebelum ini kita kedekut tukarlah sifat itu kepada pemurah. Jika sebelum ini kita menunjuk-nunjuk maka tukarlah sifat itu kepada ikhlas. Salah dan silap minta dimaafkan.
   

No comments:

Post a Comment