Wednesday, 11 December 2013

Tazkirah pagi hari Rabu

Bismillahirrahmanirrahim

     Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus hidup pada pagi ini. Ingin berkongsi tazkirah agi yang disampakan oleh Ustaz Sobri Mat, kitab Tanbihul Ghafilin di Masjid Ar Rahima, Taman Greenwood.

     Abu Maisarah sering berkata apabila berada di tempat tidur, "Alangkah baiknya jika aku tidak dilahirkan oleh ibuku". Isterinya membalas, "Allah telah memberi kurnia dan memberi hidayah Islam kepadamu". Abu Maisarah menambah, "Allah memberitahu bahawa akan kita akan masuk ke neraka tapi tidak menyatakan bila akan keluar". (Maafkan jika saya tersalah dan tolong betulkan).

     Tidur adalah sebahagian dari mati. Diriwayatkan apabila kita mati dan masuk ke dalam kubur. Selepas saja tiga langkah orang meninggalkan kita maka akan datanglah malaikat Mungkar dan Nakir. Selepas tujuh langkah kita akan mendengar derapan langkah orang di atas. Segala jeritan ahli kubur tidak dapat didengar oleh jin dan manusia kecuali haiwan dan tumbuhan. Sekiranya manusia yang mendengar nescaya akan menyebabkan kematian.

     Kisah yang lain pula, Al-Fudhail menyatakan bahawa di tidak iri hati kepada Malaikat Muqorrobin (Malaikat yang rapat dan hampir dengan Allah) dan para Rasul tapi beliau hanya irihati akan mereka yang masih belum dilahirkan ke dunia. Kenapa? Orang yang belum dilahirkan tidak ada apa yang hendak dipertanggungjawabkan.

     Di dalam buku Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah karangan Almarhum Ustaz Said Bin Ibrahim bekas Mufti Sabah, umat Nabi Muhammad adalah umat yang terbaik kerana tiga ciri. Menyuruh berbuat baik, mencegah kemungkaran dan menyeru manusia beriman kepada Allah. Agama Islam ialah agama nasihat. Kita diseru untuk nasihat menasihati antara satu sama lain. Apabila melihat kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah ditegur. Orang yang ditegur mesti berlapang dada. Pepatah Melayu jangan jaga tepi kain orang, mati kubur masing-masing adalah pepatah yang tidak elok.

     Gandingan mantap antara ulama dan umara (pemerintah/ kerajaan) adalah penting. Ini bagi mendapat keberkatan, negara yang aman dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Masalah jenayah seperti tembak menembak dan bunuh membunuh sangat bermaharaja akibat kita yag tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan pentadbiran negara. Zaman kegemilangan Islam telah berlaku pada zaman Nabi, sahabat dan khulafa Ar-Rasyidin berkat mengikut undang-undang Allah.

     Ada dua jenis ulama - satu yang berani menegur pemerintah supaya mengikut Islam yang sebenanya dan dua yang menjaga pangkat serta kedudukan.

     Nabi memberitahu, waktu siang yang pendek maka hendaklah kita berpuasa dan malam yang panjang maka hendaklah kita bangun sembahyang malam. Tanda seorang itu mendapat cahaya Islam ialah dia tidak mengunjungi tempat-tempat yang melalaikan dan meninggalkan perbuatan yang sia-sia.
   
     Duduk minum segelas air kopi di kedai kopi selama dua tiga jam adalah contoh yang perbuatan yang sia-sia. Apa yang dimaksudkan ialah bukan sekadar duduk dan minum air kopi tapi melihat pula kepada pelayan kedai atau pelanggan berlainan jantina yang berpakaian seksi. Elakkan dari berkata takpelah sekali saja bila sudah buat perkara yang sia-sia tersebut kerana ia boleh menjauhkan kita dari mengingati Allah.

     Sekian sahaja, semoga kita dapat diberi kekuatan untuk beramal. Sesunguhnya hanya Allah sahaja yang menentukan kedudukan seseorang itu nanti samada dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Salah dan silap saya mohon ampun daripada Allah dan maaf daripada tuan.

   

No comments:

Post a Comment